KOLABORASI STRATEGIK BAGI MENINGKATKAN PEMBANGUNAN AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN



CYBERJAYA, 9 November 2020 – Serba Dinamik Group Berhad (Serba Dinamik) dan University Malaysia of Computer Science and Engineering (UNIMY) hari ini memeterai Sijil Kolaborasi (Certificate of Collaboration, CoC) yang membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam menjalankan latihan teknikal dan perkongsian teknologi, kepakaran serta program pensijilan yang diiktiraf oleh institusi TVET, Politeknik Malaysia dari Terengganu.

Kolaborasi yang disiarkan secara langsung di laman Facebook UNIMY ini melibatkan tiga Politeknik iaitu Politeknik Besut Terengganu, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun dan Politeknik Kuala Terengganu.

CoC ini ditandatangani oleh Naib Canselor UNIMY, Professor Datuk Ts. Dr. Mohd Razali Muhamad, manakala bagi Serba Dinamik pula ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan Serba Dinamik Holdings Berhad, Dato’ Dr. Ir. Ts. Mohd Abdul Karim Abdullah.

Naib Canselor UNIMY, Professor Datuk Ts. Dr. Mohd Razali Muhamad, menegaskan dalam keadaan yang tidak menentu ini, sesebuah organisasi, khususnya institusi pengajian tinggi seperti universiti dan Politeknik, tidak boleh beroperasi secara bersendiri atau ‘silo’. Kerjasama pintar haruslah dibentuk agar sumber yang terhad dapat digunakan dengan lebih optimum.

“Saya yakin hasrat berkolaborasi di antara UNIMY dan ketiga-tiga Politeknik ini akan disusuli dengan usaha gigih dalam mencapai sasaran persetujuan beberapa projek akademik atau penyelidikan bagi mewujudkan kisah kejayaan atau ‘success stories’ yang akan memberi galakan dan motivasi yang lebih besar atau ‘high impact”.

“Kerjasama berkenaan juga akan menghasilkan penjimatan dari segi kewangan, sumber manusia dan sumber fizikal yang lain. Saya percaya kelebihan yang ada di setiap pihak ini akan dapat disinergikan bersama dan usaha ini akan berterusan dalam melestarikan kolaborasi berkenaan”, katanya di Majlis Memeterai Kolaborasi CoC hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Serba Dinamik Holdings Berhad, Dato’ Dr. Ir. Ts. Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, Serba Dinamik sudah lama berkecimpung di dalam arena perniagaan antarabangsa dan lokal, maka kolaborasi yang dijalinkan bersama ini harus dijadikan sebagai kunci sukses kepada Revolusi Industri (IR) 4.0.

“Kita perlu menyedari bahawa silibus pembelajaran abad ke-21 perlu disemaikan dan dilaksanakan mengikut perkembangan teknologi yang berubah begitu pantas bagi menghadapi IR 4.0. Di peringkat Politenik dan Universiti, mereka perlu bersiap sedia untuk menerima cabaran membentuk ekosistem digital yang lebih kukuh.”

Beliau juga turut menjelaskan bahawa ia adalah satu proses di mana setiap peringkat institusi pengajian perlu memandang serius untuk terus mendokong mandat IR 4.0 supaya kekal relevan dengan perkembangan pasaran semasa.

“Saya mempunyai keyakinan penuh yang kolaborasi bersama ini dapat membentuk pelajar di peringkat Politeknik dan juga UNIMY untuk mempunyai kepakaran yang cukup mantap bagi memberi mereka peluang pekerjaan pada masa akan datang,” katanya ketika menandatangani Sijil Kolaborasi (CoC).

Menurut Pengarah Politeknik Besut Terengganu, Che Mukhtar Bakar, Politeknik telah mencipta sejarah sekian lama dalam menyediakan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) yang seiring dengan permintaan tenaga kerja yang berkemahiran dalam bidang Revolusi Industri 4.0.

“Kami telah melatih pelajar-pelajar dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional yang sejajar dengan IR 4.0 dengan menekankan kepada pembangunan bidang Internet of Things (IOT) dan Artificial Intelligence (AI).

“Usahasama antara Serba Dinamik dan UNIMY serta Politeknik yang lain ini dapat melahirkan pelajar untuk mencapai kebolehpasaran graduan untuk menjadi sebuah negara maju yang seiring dengan industri digital dan teknologi,” katanya ketika menandatangani Sijil Kolaborasi (CoC).”

Turut bersama dalam Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi (CoC) ini adalah Pengarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun, Sr. Haji Mohd Fikri Ismail dan Pengarah Politeknik Kuala Terengganu, Dr. Hj. Mohd Daud Isa.

Agenda utama dalam kerjasama antara ketiga-tiga Politeknik terbabit bersama Serba Dinamik dan UNIMY adalah seperti berikut:

· Kerjasama dalam pembangunan kurikulum,

· Penglibatan dalam program pembangunan dan mobiliti staf dan pelajar,

· Penglibatan dalam program kajian, penyelidikan, inovasi dan penerbitan.

· Penglibatan dalam aktiviti seminar, bengkel, simposium dan komuniti,

· Penglibatan dalam program keusahawanan dan pengkomersilan, dan

· Perkongsian maklumat ilmu, kemahiran dan peralatan dalam bidang yang telah dikenalpasti bersama.


Mengenai Serba Dinamik Group Berhad (SDGB) (www.e-serbadk.com)

SDGB adalah sebuah syarikat awam berhad yang diperbadankan di Malaysia pada 19 Ogos 2004. SDGB terlibat dalam syarikat pemegangan pelaburan dan menyediakan perkhidmatan pengurusan bagi aktiviti minyak dan gas. SDGB adalah anak syarikat milik penuh Serba Dinamik Holdings Berhad, sebuah syarikat awam yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada tahun 2017. Selain menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian kejuruteraan bagi minyak dan gas, syarikat ini turut menyediakan perkhidmatan termasuk kilang Pembuatan Petrokimia, Loji Gas Asli Cecair, Loji Kuasa Pengeluaran Tenaga, Pengurusan Air dan Utiliti. Syarikat ini juga telah menceburi bidang teknologi maklumat yang komprehensif dan menyediakan penyelesaian kejuruteraan dalam bidang teknologi futuristic

Mengenai UNIMY University Malaysia of Computer Science and Engineering (UNIMY) adalah sebuah universiti digital teknologi swasta yang ditubuhkan pada tahun 2012 dengan moto – masa depan bermula @ UNIMY, menggambarkan penerapan inovasi teknologi yang maju demi manfaat bersama. Kekuatan universiti ini terletak pada enam (6) bidang teknologi khusus serta gaya hidup teknologi terkini yang diperlukan untuk terus berkembang dan mara dalam era Revolusi Industri (IR) 4.0.

Mengenai Politeknik Besut Terengganu

Politeknik Besut Terengganu (PBT) adalah politeknik Malaysia ke-34 ditubuhkan yang terletak di Besut, Terengganu. Penubuhan politeknik ini bertujuan merealisasikan hasrat Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dalam membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan memiliki sikap positif untuk terus maju dalam ekonomi global dengan moto – Inspiring Minds, Creating Futures. Ini bagi memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi selaras dengan globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global. Visi PBT adalah untuk menjadi institusi TVET yang berkualiti dalam melahirkan modal insan holistic dan menjadi pilihan utama industri. Misi PBT adalah menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif bagi melahirkan modal insan holistik yang memenuhi keperluan industri. Bermula Sesi Jun 2017, Politeknik Besut mula menawarkan Kursus Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital). PBT juga akan menawarkan program Diploma Apparel Batik dan Diploma Craft Design.

Mengenai Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin

Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) dahulunya dikenali dengan nama Politeknik Dungun Terengganu merupakan Politeknik yang ke-13, mula beroperasi pada tahun 2001 di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). PSMZA komited dalam peningkatan kualiti secara berterusan ke atas program pengajian dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat bagi menerajui pengajian Latihan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) negara. Fungsi utama PSMZA adalah memberi pedidikan teknikal terhadap pelajar-pelajar yang mendaftar di PSMZA dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi Malaysia.

Mengenai Politeknik Kuala Terengganu

Politeknik Kuala Terengganu (PKT) yang dahulunya dikenali sebagai Politeknik Kota Kuala Terengganu (PKKT) telah ditubuhkan pada 1 Januari 1999 dan beroperasi di bangunan Maktab Perguruan Pasir Panjang. Penubuhan PKKT adalah di bawah konsep kampus dalam kota. Selepas enam bulan beroperasi di Maktab Perguruan Pasir Panjang, tanggal 1 Julai 1999 PKKT berpindah ke tapak lama bangunan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terenganu yang telah disewakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan beroperasi di tapak ini sehingga hari ini. Visi PKT adalah untuk menjadi institusi TVET yang berkualiti dalam melahirkan modal insan holistik dan menjadi pilihan utama industri. Misi PKT pula adalah menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif bagi melahirkan modal insan holistik yang memenuhi keperluan industri. Sehingga kini, Politeknik Kuala Terengganu menawarkan peluang pendidikan peringkat Diploma dan Pra Diploma kepada hampir 1000 pelajar melalui dua Jabatan Akademik dan dua Jabatan Sokongan Akademik iaitu:

a) Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) Diploma Kejuruteraan Elektrik & Elektronik

b) Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi (JTMK) Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital)

c) Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) Pra Diploma Sains


Siaran Media (Majlis Menandatangani CoC)
.
Download • 204KB

#FutureBeginsAtUNIMY

USEFUL LINKS

OFFICE OPERATING HOURS

Weekday: 9.00am – 5.30pm

Weekend and Public Holiday: Close

Open Day: 10.00am – 5.00pm

CONNECT WITH US

UNIMY is a wholly owned subsidiary of Serba Dinamik Holdings Berhad. All Rights Reserved. © Copyright 2020